Dua syarikat didenda RM25,000 abai keselamatan pekerja - Utusan Malaysia

Dua syarikat didenda RM25,000 abai keselamatan pekerja

PENGARAH sebuah syarikat yang didenda kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja hingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kecederaan kepada pekerja tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua syarikat masing-masing didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja hingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kecederaan kepada pekerja, tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd. diwakili pengurus besarnya, K. Muralitharan, 48, dan Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd. diwakili pengarah, Tan Taik Chin, 54.

Kedua-dua syarikat itu didakwa secara berasingan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967.

Mengikut kertas pertuduhan, Syarikat Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd. didakwa gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai motor yang berada di bawah conveyor, pada bahagian outlet ‘DET’ line P2 sehingga menyebabkan kemalangan kepada P. Devan, 20.

Kejadian itu berlaku di Lot 127220 Kanthan Industrial Estate, Chemor kira-kira pukul 5.30 petang, 1 November 2020.

Sebuah lagi syarikat iaitu Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd. didakwa telah gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai di inlet roller mesin veneer clipper sehingga menyebabkan kemalangan kepada Ahzi Aznam, 20.

Kejadian itu berlaku di Lot 78 dan 84 Medan Tasek, Tasek Industrial, kira-kira pukul 8.30 pagi, 5 November 2020.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP, Norissham Ishak itu dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 51(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Norashima menjatuhkan hukuman denda RM25,000 atau tiga bulan penjara kepada kedua-dua syarikat berkenaan.

Syarikat tersebut yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Dalam kemalangan tersebut, Devan mengalami kecederaan serius pada jari kaki kiri manakala Ahzi para pada jari manis dan jari kelingking tangan kanan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya