LANGKAWI: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan ketika cuba memasuki kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dua suspek itu ditahan oleh anggota polis dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan rondaan di jalan berdekatan penempatan tersebut pada pukul 9.40 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu peket plastik lutsinar dan tiga tiub straw berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4.8 gram (g).
“Turut ditemukan tiga peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dengan berat anggaran 3.71g di atas tanah berhampiran saspek ketika ditahan,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Shariman berkata, suspek tersebut berusia 31 dan 37 tahun dan mereka bekerja sebagai nelayan.
Tambahnya, suspek yang berusia 37 tahun itu juga positif dadah jenis morfin melalui ujian air kencing selain mempunyai tiga rekod lampau.
Sementara itu, katanya, seorang lagi suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE