LUMUT: Dua maut apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Kampung Colombia, Ayer Tawar, dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, seorang lelaki berusia 51 tahun dan wanita berusia 43 tahun dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan dan dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Difahamkan, kedua-dua mangsa mempunyai pertalian keluarga.
Kereta jenis Proton Iswara yang terbabas dan terbakar menyebabkan orang ramai menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 5.32 petang.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar Nasaruddin Abu Bakar berkata, kedua- dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Ayer Tawar sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan pokok di tepi jalan.
“Sebaik sahaja pasukan bomba tiba di tenpat kejadian, didapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan kenderaan juga sudah terbakar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nasaruddin, kereta mangsa terbakar 90 peratus dan bomba mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan masih menjalankan siasatan kejadian tersebut.