MELAKA: Dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu pembekalan peralatan tidak wujud bernilai hampir RM10,000, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Zamry Yazid, 46, dan Muhammad Nurhafizi Samat, 33, masing-masing dihadapkan dengan tiga pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut tiga pertuduhan terhadap Mohd. Zamry, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai perubatan didakwa telah menipu dan memperdayakan kakitangan PKD Jasin, untuk memperakukan pembayaran pembekalan peralatan tidak wujud bagi Unit Kawalan Mutu Air (KMAM).
Pembekalan tersebut berjumlah keseluruhan RM9,536 yang telah diperakukan kepada Perniagaan Pella Maju Enterprise.
Tindakan itu dilakukan tertuduh di PKD Jasin pada 5 dan 9 November 2018.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Muhammad Nurhafizi yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran turut didakwa atas tiga pertuduhan sama, membabitkan amaun sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.
Peguam Mohd. Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohd. Zamry bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya kini telah digantung tugas, manakala Muhammad Nurhafizi diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dan bersetuju dengan semua syarat tambahan serta memerintahkan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 September depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE