'Doktor ambil keputusan tidurkan dia, kami sempat minta maaf' - Utusan Malaysia

‘Doktor ambil keputusan tidurkan dia, kami sempat minta maaf’

FUZAIELI Ahmad menunjukkan gambar Norhayati Hashim yang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 di Langkawi, Kedah. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seorang warga emas masih teringat dia dan arwah isterinya saling bermaafan sebelum insan kesayangannya itu pergi buat selamanya akibat dijangkiti Covid-19.

Fuzaieli Ahmad, 67, yang tinggal Taman Desa Permata, Kuah di sini memberitahu, isterinya, Norhayati Hashim, 53, meninggal dunia pada pukul 9.45 malam, 31 Mei lalu.

Norhayati adalah korban pertama akibat pandemik itu di pulau peranginan ini.

Menurut Fuzaieli, dia dan isterinya didapati positif Covid-19 pada Hari Raya Aidifiltri kedua yang lalu.

“Arwah masak juadah raya seperti rendang daging dan ketupat pulut sehari sebelum raya. Selepas solat Subuh raya pertama, kami berehat sebentar sebelum menjamah hidangan yang disediakan arwah.

“Kami berdua mula berasa tidak sihat pada petang tersebut dan semakin teruk sehingga betul-betul tidak tahan (sakit) pada petang raya kedua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Fuzaieli yang merupakan pesara Jabatan Penerangan berkata, salah seorang anaknya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan terus dibawa ke hospital.

“Sebaik sahaja tiba di hospital, ujian calitan dilakukan dan kami didapati positif Covid-19 dan doktor memaklumkan saya berada pada tahap empat manakala isteri mencecah tahap lima,” katanya.

Jelasnya, pada minggu kedua di hospital, keadaan Norhayati lebih stabil apabila oksigen diberikan kepadanya.

“Namun pada awal minggu ketiga di hospital, terdapat implikasi buah pinggang dan paru-paru arwah dan oksigen didapati tidak sampai ke otaknya sehingga doktor mengambil keputusan untuk menidurkan arwah.

“Bagaimanapun, arwah tidak dapat bertahan dan kami hanya sempat saling meminta maaf sebelum arwah meninggal dunia pada 31 Mei, pukul 9.45 malam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya