Didenda RM38,000 gagal lapor kemalangan, abai keselamatan hingga pekerja maut - Utusan Malaysia

Didenda RM38,000 gagal lapor kemalangan, abai keselamatan hingga pekerja maut

PENGARAH yang mewakili syarikat pembinaan yang didenda RM38,000 kerana cuai dan mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kematian pekerja warga Bangladesh tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah cuai dan mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kematian pekerja warga Bangladesh, tiga tahun lalu.

Syarikat Rantau Urusan (M) Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Lee Wei Jin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai majikan didakwa telah gagal serta-merta memberitahu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terdekat dengan cara yang paling cepat bagi kemalangan pekerja warga Bangladesh di bawah kawalannya iaitu Zaffor yang mengalami kecederaan badan yang serius semasa sedang bekerja pada 28 Disember 2019.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Lot PT2718, Bandar Seri Iskandar kira-kira pukul 8.15 pagi, 31 Disember 2019.

Syarikat tersebut didakwa mengikut Peraturan 5(1)(aa), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004 dan Peraturan 9, peraturan sama.

Sabit kesalahan, syarikat atau wakilnya boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat tersebut juga didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja mengalihkan ‘rubbish chute’ di Blok D sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Zaffor di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan Pegawai Pendakwa JKKP, Norissham Ishak mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM35,000 bagi pertuduhan kedua.

Wei Jin yang tidak diwakili peguam juga berdepan hukuman penjara empat bulan jika tidak membayar denda tersebut.

Pengarah syarikat terbabit membayar denda berkenaan.

Dalam kejadian pada 28 Disember 2019, mangsa berusia 39 tahun itu cedera di kepala kerana ditimpa bancuhan simen yang dibuang oleh pekerja dari tingkat tiga bangunan Blok D.

Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada pukul 11.12 malam, 30 Disember 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya