MELAKA: Seorang wanita didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memuat naik satu kenyataan tidak benar mengenai Covid-19 di tempatnya bekerja pada 3 Jun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Anati Kamarudin, 28, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan akaun aplikasi Twitter miliknya menyebarkan berita tidak benar berkaitan jangkitan Covid-19 di kilang tempatnya bekerja dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 pagi di Jalan AP3, Taman Ara Permai, Batu Berendam 3, Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No2) 2021 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah dibuang kerja dan kini menganggur, selain perlu menanggung ibu bapanya.
Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Baidus Zaman Ahmad memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira isu penyebaran berita palsu adalah serius dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.