SELAYANG: Gara-gara menipu sebuah bank dan membuat laporan polis palsu berhubung ganti rugi penerimaan wang palsu dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seorang penghantar barang didenda berjumlah RM5,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda itu terhadap S.Sunjeevan, 26, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengenakan denda RM4,000 manakala pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM1,200.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara 11 bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Sunjeevan dengan curangnya telah memperdaya seorang pegawai bank berusia 47 tahun bagi mendapatkan ganti rugi atas penerimaan wang palsu daripada mesin ATM sebuah bank.
Wang palsu itu didakwa diterimanya daripada mesin ATM Maybank cawangan Sri Gombak, di sini pada 12.47 tengahari pada 21 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Sementara pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah memberikan maklumat bertulis palsu kepada Konstabel Nuqba Harierie Abdul Latif berhubung penerimaan wang palsu itu.
Tindakannya itu menyebabkan Pegawai Penyiasat (IO) Sarjan M. Sanjaav Selan menggunakan kuasanya yang sah disisi undang-undang untuk melakukan siasatan yang mana pegawai polis itu tidak melakukannya sekiranya keadaan sebenar dimaklumkan kepadanya.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Gombak di sini pukul 1.28 petang pada tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Azman Abdullah memohon hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan pendapatannya terjejas dan dia melakukan perbuatan tersebut akibat terdesak dan memerlukan wang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana perbuatan tersebut bukanlah cara bagi menyelesaikan masalah.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh datang ke kaunter bank tersebut bagi meminta ganti rugi kerana mendakwa terdapat enam keping RM100 palsu daripada wang RM1,500 yang dikeluarkannya daripada mesin ATM Maybank Taman Sri Gombak.
Pegawai bank bertugas kemudian meminta tertuduh mengisi borang aduan dan membuat laporan polis.
Bagaimanapun hasil siasatan mendapati, tertuduh telah mengeluarkan wang berjumlah RM1,500 dan kesemuanya adalah tulen.
Enam keping RM100 yang didakwa palsu itu adalah kepunyaannya, yang mana telah disahkan sebagai bukan tulen oleh Bank Negara Malaysia (BNM). – UTUSAN ONLINE