KUALA LUMPUR : Pertembungan ‘derby’ Lembah Klang antara Kuala Lumpur City (KL City) menentang Selangor berakhir dengan seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Keputusan sama dicatatkan dalam pertemuan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 13 Mac lalu sekali gus menyaksikan tiada pasukan dapat menuntut status ‘Raja Lembah Klang’ musim ini.
Pada aksi terbabit, KL City beberapa kali melakukan percubaan ke gawang pasukan pelawat namun gagal untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.
Bagaimanapun, kekebalan penjaga gol Harimau Malaya itu akhirnya dibolosi hasil sepakan bola mati menarik yang dilakukan kapten KL City, Paulo Josue pada minit ke-40.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Red Giants hampir menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan bola mati namun rembatan pemain import dari Switzerland, Oliver Buff sekadar menggegar palang gol tuan rumah.
Namun, usaha skuad bimbingan Karsten Neitzel mencari gol penyamaan terhasil menerusi jaringan Buff yang bijak menyambar bola yang ditepis Kevin Mendoza untuk mengikat kedudukan pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, KL City FC beroleh peluang keemasan pada minit ke-65 menerusi situasi satu lawan satu namun percubaan Kyrian Nwabueze berjaya diselamatkan Khairul Azhan.
Selangor hampir meraih gol kemenangan pada lewat permainan namun tampanan Ifedayo Olusegun di hadapan gawang KL City FC tidak menemui sasaran sekali gus menyaksikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.