Deja Moss bawa diri ke Amerika - Utusan Malaysia

Deja Moss bawa diri ke Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN sesekali dipersoalkan tentang aura penyanyi yang satu ini, kerana gemerlapan pesonanya tidak pernah malap.

Seorang Deja Moss itu tersendiri. Bakat kurniaan ilahi menjadikan penyanyi ini teristimewa.

Digelar vokalis hebat, bukan sembarangan penyanyi layak untuk dipanggil sedemikian rupa.

Carilah siapa sekalipun, tidak mungkin kita temui Sharifah Hadijah Wan Moss yang kedua, noktah.

Perjalanan seni penyanyi bersuara lantang ini bukan setahun dua, malah terlalu lama.

Sebagai anak seni, pelbagai warna kehidupan sudah dia tempuhi. Jatuh dan bangun dalam industri itu sudah sebati.

2018 menjadi tahun cukup menduga buat wanita ini.

Detik perceraian dengan suami, Azfendy Azzuddin meninggalkan luka yang menyakitkan.

Namun, pada 2019 dia memilih untuk bahagia menerusi perkahwinan kedua bersama jejaka asal Amerika Syarikat (AS), Maher Khani.

Dan tanggal 10 Julai lalu, dia memutuskan untuk berhijrah ke AS meninggalkan semua untuk kekal di samping suami tercinta.

Timbul bisik-bisik orang, mengatakan penghijrahannya dek kerana industri hiburan tempatan yang semakin menyepi.

Namun penyanyi ini menjelaskan, keputusan itu tidak lain hanya kerana ingin terus di sisi suami di sana.

“Tempat isteri adalah di sisi suami. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biarlah perkahwinan ini saya jaga sebaik-baiknya.

“Saya berhijrah bukan kerana industri. Tidak dinafikan, sekarang (industri seni) memang sedikit sepi walaupun sebelum ini, ia bukanlah begini.

“Lagipun usia saya dah nak menjangkau 50, berilah ruang dan peluang untuk mereka yang masih baharu untuk mewarnai industri kita.

“Kini, menyanyi itu sekadar suka-suka. Kalau boleh saya cuma ingin terlibat di belakang tabir sahaja,” katanya.

SELAMAT TINGGAL DUNIA NYANYIAN?

Kali terakhir Deja Moss tampil menyanyi adalah menerusi lagu Menepis Rawan.

Boleh dikatakan, lagu itu telah mengubat rindu peminatnya yang sekian lama menantikan penyanyi ini hadir dengan buah tangan baharu.

Namun, keputusan untuk berhijrah menimbulkan pelbagai persoalan daripada kalangan peminat.

Mungkinkah selepas ini, tiada lagi Deja Moss di pentas nyanyian? Tiada lagi lagu-lagu yang mengasyikkan daripada pemilik suara emas ini?

“Suami telah mengingatkan, apa yang lepas biarlah berlalu. Kalau boleh, dia tidak mahu saya menyanyi lagi.

“Tetapi, kalau ada yang kata saya tinggal terus dunia nyanyian ini, itu tidak benar. Jika ada jemputan untuk menyanyi, kenapa tidak. Kalau sekadar suka-suka, saya tak kisah,” jelasnya.

Dalam pada itu, bila disoal tentang zuriat, Deja Moss memberitahu, dia menyerahkan segalanya kepada tuhan.

Katanya, sebagai seorang wanita, dia sudah pastinya mendambakan cahaya mata sendiri. Namun, dia tidak terdesak dan menerima ketentuan ilahi.

“Saya pun dah hampir ke usia 50 tahun. Ada orang pada usia begini masih boleh mengandung dan melahirkan. Begitu juga dengan saya, masih belum terlambat.

“Niat itu memang ada, begitu juga dengan suami yang juga inginkan anak bersama saya.

“Tapi saya tak kisah, kalau ditakdirkan Allah, saya terima,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya