Dasar kerja dari rumah ditambah baik - M Saravanan

Dasar kerja dari rumah ditambah baik – M Saravanan

M. SARAVANAN ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan di Dewan Gandhi, Tapah, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Sumber Manusia bakal memperkenalkan dasar bekerja dari rumah bagi menambah baik sistem kerja sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, dasar baharu yang dirangka berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) itu diperlukan susulan banyak aduan diterima pihaknya termasuk isu majikan yang tidak benarkan bekerja dari rumah.

Katanya, berdasarkan data menerusi aplikasi Working for Workers (WFW), aduan berkaitan majikan tidak benarkan bekerja dari rumah merekodkan jumlah aduan tertinggi sebanyak 2,198 kes.

“Saya sering menerima aduan daripada pekerja bahawa ada majikan mengambil kesempatan dengan memaksa mereka hadir ke tempat kerja dan menggunakan pelbagai ugutan.

“Walaupun kerajaan telah umumkan SOP termasuk membabitkan sektor perlu dan peratusan pekerja yang dibenarkan hadir bekerja, masih ada majikan yang dikesan mengambil kesempatan.

“Saya telah memberi amaran kepada mereka dan akan mengambil tindakan di samping perkenalkan dasar baharu bekerja dari rumah dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan di Dewan Gandhi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pekerja yang mendakwa dipaksa oleh majikan hadir bekerja walaupun menyalahi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sejak aplikasi WFW dilancarkan awal Mei lalu, pihaknya menerima sebanyak 5,177 aduan berkaitan isu buruh.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,731 aduan telah pun diambil tindakan.

“Sehingga semalam, aduan majikan tidak benarkan bekerja dari rumah merekodkan kes tertinggi diikuti gaji yang tidak dibayar atau pembayaran lewat dan potongan upah tidak mengikut undang-undang.

“Berdasarkan rekod juga, Selangor mencatatkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 1,809 aduan selain Kuala Lumpur dengan 1,210 aduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya