Darah pejuang bapa mengalir dalam tubuh Granit Xhaka

Darah pejuang mengalir dalam tubuh Xhaka

GRANIT XHAKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANGNYA kacak tapi wajah­nya tampak bengis dan kadang­kala ‘menakutkan’ pemain lawan.

Itu karakter Granit Xhaka, kapten berpengaruh Switzerland yang telah membawa negaranya melakar sejarah dalam Euro 2020 dengan menyingkirkan juara dunia, Perancis untuk melangkah ke suku akhir.

Malang sekali, kelibat Xhaka tidak kelihatan dalam pertemuan bersejarah menentang Sepanyol kerana digantung perlawanan, namun aksi hebatnya ketika mengejutkan Perancis akan sentiasa dikenang penyo­kong La Nati.

Di sebalik kehebatan me­mimpin pasukan dan meren­cana pergerakan mereka, Xha­ka sebenarnya sering menjadi ‘sasaran mudah’ lawan yang menganggap sikap panas barannya adalah kelemahan yang harus dimanfaatkan.

Xhaka juga sering menjadi sasaran kritikan, hinaan atau serangan provokatif daripada peminat, media mahupun pengkritik bola sepak.

Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Arsenal menentang Burnley pada 14 Di­sember 2020 antara detik hitam buat Xhaka kerana dia bukan saja menjadi sasaran pemain dan peminat lawan, malah penyokong pasukannya sendiri.

Dalam keadaan tertekan ke­rana Arsenal amat memerlukan kemenangan di Burnley, Xhaka melakukan terjahan terhadap pemain lawan, Dwight McNeil. Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, McNeil meluru ke arah Xhaka dan menolaknya.

Beberapa pemain Burnley seperti Ashley Westwood ma­suk campur dan me­manaskan lagi keada­an dengan menolak Xha­ka. Dalam keadaan ‘panas’ Xhaka bertindak mencekak leher Westwood dan akhirnya dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Pengulas televisyen berulang kali mengatakan, semua pema­in yang bergaduh sepatutnya dikenakan tindakan kerana Xhaka bertindak balas selepas ditolak beberapa pemain lawan. Arsenal akhirnya kalah 0-1 dan Xhaka dipersalahkan.

Pada Oktober 2019 dalam perlawanan EPL menentang Crystal Palace, Xhaka bergaduh dengan penyokong Arsenal dan ketika itu kariernya di Emirates dilihat seperti tiba di penghujung. Selepas diejek sekumpulan peminat, dia pergi ke arah mereka dan berkonfrontasi.

Selama sebulan, dia direhatkan oleh pasukan, malah turut dilucutkan daripada kapten Arsenal. Masa depan Xhaka bersama kelab London itu tampak benar-benar sudah musnah.

“Saya ambil positif daripada situasi negatif selepas perlawanan me­nentang Burnley.

“Saya sentiasa cu­ba melakukan lebih ba­nyak perkara positif da­lam bola sepak dan beritahu diri sendiri ‘saya boleh hadap semua ini, belajar daripada kesilapan’. Amat penting untuk buktikan kepada orang lain mereka masih bergantung kepada saya.

“Saya bangkit dengan kuat dan menjadi orang yang lebih baik. Sekarang, fizikal dan mental saya dalam keadaan terbaik,” kata Xhaka.

Ia amat mustahil jika mereka fikir Xhaka boleh ‘dihapuskan’ begitu saja. Mentalnya sangat kuat, ibu bapanya membuatkan dia seorang ‘pejuang’ dengan caranya sendiri.

Menurut bintang tengah berusia 29 tahun itu, dia datang dari keluarga pejuang, terutama bapanya, Ragip yang pernah menjadi banduan politik selama tiga tahun setengah di Yugoslavia pada 1986.

Sebagai pejuang Kosovo, bapanya mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang pemerintah komunis di Belgrade, dia mahu membela hak demokratik rakyatnya.

Setelah dibebaskan dari pen­jara, Ragip mencari permulaan baru dan pindah bersama isterinya, Eli ke Switzerland, di mana Xhaka dilahirkan pada 1992.

“Kami memulakan hidup tanpa apa-apa di Switzerland. Bapa saya tidak kenal sesiapa, pada dasarnya dia seorang pelarian politik. Anda boleh bayangkan kesukaran ketika itu.

“Sebab itu karakter saya sa­ngat kuat. Darah pejuangan ayah mengalir di tubuh saya, malah saya tidak pernah lari daripada masalah,” kata Xhaka.

Biarpun tampak ‘ganas’ di atas padang, namun Xhaka adalah bapa dan suami penyayang. Hasil perkahwinannya dengan Leonita Lekaj pada Julai 2017, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan yang lahir pada 7 Oktober 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya