BAGAN SERAI: Seekor lembu sado seberat 800 kilogram antara enam lembu yang disembelih pada program korban Pas Bagan Serai, di sini hari ini.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, lembu baka Charolis itu dibeli pada harga RM20,000 sempena program korban kali ini.
Menurutnya, daging lembu sado itu diagihkan kepada penduduk di Bagan Serai termasuk penduduk yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Selasa lalu iaitu di Kampung Lubuk Binjai dan Kampung Tersusun Pondok Tanjung di sini.
“Semalam kita telah mengagihkan 70 bungkus daging korban kepada penduduk terlibat PKPD di Apartment Tropicana di Bukit Merah.
“Hari ini 70 bungkus lagi diagihkan kepada penduduk di dua lokaliti terlibat PKPD iaitu di Kampung Lubuk Binjai dan Kampung Tersusun Pondok Tanjung.
“Disebabkan PKPD, penduduk terlibat PKPD ada keterbatasan untuk membuat majlis korban, mereka bukan sahaja tidak boleh keluar rumah tetapi juga tidak dapat menikmati suasana sambutan AidilAdha, apatah lagi nak membeli daging,” katanya kepada pemberita di Markas Pas Masjid Tinggi dekat sini hari ini.
Razman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Asas Makanan negeri berkata, berat lembu sado pada untuk program korban hari ini bersama empat ekor lembu saiz biasa.
Katanya, melihatkan saiz haiwan itu, mungkin penternak di negeri ini beralih kepada ternakan lembu sado.
“Terengganu sudah ada ternakan lembu sado ini, di Perak belum ada. Mungkin pada masa akan datang boleh dicadangkan untuk penternak di Perak menternak lembu baka ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE