RIO DE JANEIRO: Bekas pemain legenda Argentina, Juan Roman Riquelme percaya Argentina adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Copa America 2021 berbanding Brazil kerana Lionel Messi.
Kedua-dua gergasi Amerika Selatan itu mara ke suku akhir kejohanan setelah mengungguli kumpulan masing-masing.
Messi adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol dalam empat perlawanan, manakala penyerang berbisa Brazil, Neymar pula adalah penjaring kedua tertinggi dengan dua gol.
Riquelme, ketika ditanya mengenai peluang Argentina di Copa America, mengatakan La Albiceleste adalah pasukan pilihan selagi Messi beraksi di padang.
Mengenai pemain berbisa Brazil, bekas pemain tengah Argentina itu berkata, Neymar adalah seorang pemain yang ‘genius’, namun pemain Argentina itu harus percaya pada pasukan mereka.
“Selagi Messi berada di padang, Argentina adalah pilihan untuk memenangi Copa America. Neymar seorang yang pintar mencipta peluang dan jaringkan gol, tetapi Messi adalah Messi. Anda harus mempunyai keyakinan.
“Kami mempunyai pemain terbaik dunia. Semasa Messi berada dalam pasukan, saya melihat mereka bermain dengan baik. Saya yakin mereka boleh menang,” kata Riquelme kepada ESPN.
Sementara itu, bekas bintang pertahanan Amerika Syarikat, Alexi Lalas berkata, pasti akan menjadi kejutan jika Argentina mengalahkan Brazil.
“Kami rasakan seolah-olah Messi terbeban ketika bermain untuk Argentina. Tetapi beban dan harapan itu menjadi manis jika anda menjulang trofi.
“Lihat, dia akan turun sebagai seorang pemain terhebat tanpa mengira apa yang akan berlaku. Dia akan menjadikan Argentina sebuah pasukan juara.
“Saya tak pasti sejauh mana itu akan berlaku tetapi saya fikir semua orang yang menyokong Messi mengharapkan itu terjadi,” kata Lalas kepada Sporting News. – AGENSI