Cedera terjatuh dikejar anjing liar  - Utusan Malaysia

Cedera terjatuh dikejar anjing liar 

NUR Afikah Noor Ahsikim (kanan) menunjukkan kecederaan yang dialami Nur Aura Mikayla (tengah) dan Noraina Adina selepas terjatuh akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Rumah Rakyat Rasah, Mambau, Seremban baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Rumah Rakyat Rasah, Mambau dekat sini memohon pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu kehadiran anjing liar di taman perumahan tersebut yang kini telah memberi ancaman kepada keselamatan orang ramai.

Apatah lagi ia selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera setelah mereka dikejar kira-kira tujuh ekor anjing liar dalam kejadian di kawasan tersebut, dua hari lalu.

Seorang penduduk, Nur Afikah Noor Ahsikim, 25, berkata, dalam kejadian itu, anaknya Nur Aura Mikayla Mohamad Hilmi, 2, didukung jirannya, Noraina Adina Rahim, 18, di hadapan rumah sebelum mereka dikejar sekumpulan anjing kira-kira pukul 6 petang. 

Tambahnya, berikutan kejadian itu, anaknya, mengalami kecederaan luka di badan dan di kaki kiri akibat terjatuh dan mengalami trauma.

“Anak jiran saya pula mengalami luka di bahagian siku. Pada 30 Jun lalu, saya ada membuat aduan secara dalam talian kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) namun statusnya masih dalam siasatan. 

“Tidak sampai seminggu selepas aduan dibuat, anak dan jiran saya pula dikejar anjing sehingga mengalami kecederaan luka. Saya berharap isu anjing liar ini dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan kejadian ini berulang kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Rumah Rakyat Rasah, Mambau hari ini. 

Menurutnya, anjing liar berkenaan dikatakan berada di sebuah bukit berdekatan rumahnya dan sering keluar pada waktu petang. 

“Sekumpulan anjing liar berkenaan sering kali akan keluar pada waktu petang dan mengambil selipar dan mencari makanan di tong sampah penduduk setempat. 

“Kini anjing-anjing tersebut sudah mula menganggu penduduk dan saya berharap ada tindakan segera daripada pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya yang sudah tinggal di situ selama 22 tahun. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng yang dihubungi pemberita memaklumkan, beliau akan meneliti aduan berkenaan. 

“Saya akan melawat dan meninjau dua mangsa berkenaan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya