KUALA LUMPUR : Pelakon, Catriona Ross, 40, mengaku sebak apabila mengenangkan sudah dua tahun sambutan perayaan cuma mampu diraikan di dalam rumah sahaja sejak pandemik melanda dunia.
Menurut Catriona, sama ada Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, masing-masing termasuk dirinya dan keluarga terpaksa akur dengan keadaan semasa selain peraturan yang ditetapkan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
“Sebak. Dua tahun macam ini. Sambutan Aidiladha pula sangat penting bagi orang-orang di Pantai Timur. Biasanya, lepas solat sunat Aidiladha, kami semua akan bergegas ke lokasi di mana acara korban dilakukan.
“Lepas selesai korban, masak-masak sebagai satu keluarga. Rindunya nak balik kampung. Nak rasa semua itu semula. Selamat hari raya semua,”katanya dalam sebuah hantaran yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya hari ini.
Sebelum itu, Catriona juga ada berkongsi juadah masakannya sempena sambutan Aidiladha hari ini dan memaklumkan, dirinya cuba mengimbau kenangan berhari raya di kampung menerusi sajian juadah buat suami dan anak-anaknya.
“Di Kelantan, secara tradisinya, selepas ibadah korban, kita akan buat sup tulang atau singgang tulang dengan daging biasanya dibuat goreng kunyit.
“Jika suka bahagian perut, kami akan buat juadah perut air asam tapi hari ini saya campurkan daging dan perut muda goreng. Ada sambal belacan dan ulam.
“Saja saya sajikan juadah seperti ini buat anak-anak supaya mereka dapat menghargai apa yang pernah saya nikmati sewaktu zaman saya membesar. Belajar tentang makanan, budaya dan asal usul penting juga bukan,” katanya.
Catriona mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Shaharuddin Mokhtaruddin pada 26 Jun 2009. Hasil perkahwinan,pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Sephia Rania, Edruce Riyadh dan Jammal Raess.