'Catch You' kesan pembuang sampah tidak bertanggungjawab 

‘Catch You’ kesan pembuang sampah tidak bertanggungjawab 

ROZALI Mohamud (kanan) menunjukkan sisa pepejal yang dibuang di luar tong hingga mengotorkan kawasan sekitar di Jalan Bagan Selat, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Awas kepada pengusaha industri dan perdagangan yang kerap melupuskan sisa pepejal industri ke dalam tong komunal milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebelum ini.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu kini boleh dipantau menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menggunakan teknologi tenaga solar iaitu ‘Catch You’ hasil kerjasama antara MBSP dengan syarikat berasaskan teknologi, Happy Icon.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, buat permulaan sebanyak empat lokasi dipilih untuk pemasangan CCTV mudah alih itu iaitu di Jalan Bagan Belat, Telok Air Tawar; Jalan Paya Keladi, Kepala Batas; Kuala Bekah, Penaga dan Jalan Permatang Nibong, Bukit Mertajam.

CCTV ‘Catch You’ yang menggunakan teknologi tenaga solar yang dipasang di Jalan Bagan Selat, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.

“Tujuan asal tong komunal disediakan oleh MBSP ialah untuk kegunaan penduduk kampung melupuskan sisa pepejal domestik manakala sisa pepejal industri sepatutnya dibuang ke Tapak Pelupusan Pulau Burung  atau TPPB (di Nibong Tebal).

“Namun, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuang sisa pepejal industri di sini, tahap kebersihan di sekitar tapak tong komunal ini menjadi kurang memuaskan, malah ada sampah yang dibuang di luar tong begitu sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran CCTV berkenaan di Jalan Bagan Belat, Telok Air Tawar di sini yang diadakan bersama pelancaran poster kesedaran, Kebersihan Awam Tanggungjawab Bersama hari ini.

Ketika ini, terdapat 1,039 lokasi tong komunal ditempatkan di tepi-tepi jalan serta kawasan strata di sekitar Seberang Perai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 182 lokasi mempunyai isu limpahan sampah dengan 99 dikesan berlaku di Seberang Perai Utara (SPU), 72 lokasi di Seberang Perai Tengah (SPT) dan selebihnya di Seberang Perai Selatan (SPS).

Ujar Rozali, tindakan membuang sampah merata-rata atau di lokasi yang tidak sepatutnya serta melupuskan sisa pepejal industri dan perdagangan ke dalam tong komunal merupakan kesalahan dan boleh dikompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap MBSP.

Dalam pada itu Rozali berkata, terdapat peningkatan sehingga lapan peratus dari segi jumlah beratan sisa pepejal yang dilupuskan di TPPB tahun lepas berbanding tahun sebelumnya iaitu daripada 553,242 tan kepada 558,234 tan.

Katanya, daripada jumlah itu, jumlah beratan sisa pepejal domestik menunjukkan penurunan kepada tujuh peratus iaitu daripada 263,989 tan pada 2019 kepada 245,770 tan (2020).

“Jumlah sampah (sisa pepejal) industri bagaimanapun menunjukkan peningkatan ketara sehingga 20 peratus iaitu daripada 292,252 tan kepada 352,463 tan pada tahun lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya