MELAKA: Penduduk di empat taman perumahan sekitar Ayer Keroh di sini akhirnya dapat menarik nafas lega apabila kerajaan negeri bersetuju membatalkan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Melaka, Ramli Mohd. Ali berkata, sebelum ini terdapat cadangan untuk melaksanakan PKPD di Ayer Keroh, namun ditarik balik setelah meneliti kesan pelaksanaan tersebut terhadap penduduk.
“Di dalam kawasan tersebut terdapat seramai 15,000 penduduk di empat taman perumahan termasuklah Taman Muzaffar Shah, Taman Muzaffar Heights, Taman Ayer Keroh Heights dan Taman Takh.
“Setelah memperhalusi kesan pelaksanaan tersebut, kerajaan negeri telah menarik semula cadangan PKPD di kawasan Ayer Keroh tersebut, sebaliknya hanya menyasarkan di kawasan perindustrian terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di empat taman perumahan terbabit merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melihat semula cadangan untuk melaksanakan PKPD di situ.
Penduduk turut menghalang usaha majikan sebuah kilang yang cuba memindahkan pekerja warga asing yang mencetuskan Kluster Jalan Seri Raya ke sebuah pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang.
Hasrat 37 pekerja warga asing untuk menyewa sebuah rumah dua tingkat di Taman Muzaffar Height Fasa 1 juga tidak kesampaian apabila penduduk bertindak menghalau kesemua mereka pada Selasa.
Dalam pada itu, Ramli menambah, seramai 256 pekerja di enam buah kilang disahkan positif Covid-19 membabitkan lima kluster baharu di kawasan perindustrian itu, hari ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 180 adalah pekerja warga asing.
Jelasnya, keseluruhan lapan buah kilang terlibat kini telah diarahkan tutup selama 14 hari bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.
“Mengikut data yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan sehingga kini seramai 256 pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh ini didapati positif Covid-19 selepas tercetusnya kluster baharu di kawasan itu pada Mei lalu,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, setakat ini terdapat lima kluster baharu di kawasan perkilangan tersebut termasuk dua buah kilang makanan.
Katanya lagi, kesemua pekerja yang positif telah menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta yang ditetapkan.
“Kita kini melakukan pemeriksaan mensasarkan kilang-kilang terlibat untuk memastikan kesemua produksi telah ditutup dan semua rumah pekerja warga asing dipantau rapi.
“Kita juga mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan PKP Bersasar di kawasan perkilangan terlibat untuk mengelak penularan berterusan kluster kilang ini,” jelasnya. – UTUSAN