SHAH ALAM: Dewan Sukan Klang di Taman Sri Andalas, Klang yang menjadi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi daerah itu tidak akan dipindahkan walaupun mendapat kritikan dan pertikaian daripada penduduk setempat.
Hal itu dijelaskan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan lokasi dewan berkenaan dibuat atas sebab kedudukannya yang berhampiran dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Malah katanya, penduduk setempat tidak perlu risau mengenai risiko jangkitan Covid-19 berikutan pesakit positif yang berkumpul di dewan itu kerana jarak antaranya dengan rumah cukup jauh.
“Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas dipilih sebagai lokasi CAC kerana lokasi yang berhampiran dengan HTAR dalam jarak satu kilometer. Ini amat memudahkan ambulans menghantar kes Covid-19 kategori 4 dan 5 ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Risiko jangkitan kepada penduduk Taman Sri Andalas adalah sangat rendah. Risiko jangkitan daripada pesakit yang beratur kepada komuniti juga adalah minimum kerana pesakit berada di luar bangunan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Dewan Sukan Klang juga bersaiz besar dan memenuhi keperluan CAC, termasuk ruang pendaftaran, penilaian doktor, pemotongan gelang dan kuarantin, katil pemerhatian serta rawatan yang dilengkapi tong bekalan oksigen.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PKD Klang meminta masa bersetuju menyemak semula dan memohon cadangan memindahkan CAC di Taman Sri Andalas ke tempat lain dan diberi sedikit masa untuk mencari lokasi yang sesuai.
PKD dikatakan mengakui kesilapan kerana tidak melibatkan perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan penduduk sebelum mencadangkan pembukaan CAC tersebut.
Cadangan pemindahan CAC itu timbul selepas sebuah video tular dalam media sosial penduduk Taman Sri Andalas yang melahirkan kegusaran mereka terhadap operasi CAC yang berhampiran kediaman apabila pusat itu mengumpulkan pesakit positif Covid-19 yang ramai.