Cabaran pemain boling ke layar skrin - Utusan Malaysia

Cabaran pemain boling ke layar skrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, siapa menduga. Bekas pemain boling tenpin kebangsaan dan ikon media sosial kini telah dilamar sebagai pelakon dalam sebuah naskhah tempatan.

Pertama kali melihatnya di layar skrin, penampilan ratu boling tenpin negara, Syaidatul Afifah, dilihat cukup berbeza dan senang menjiwai wataknya menerusi drama Ratu Ten Pin yang kini bersiaran di Astro Ria.

Namun, menurut tuan empunya badan, baginya untuk membawa watak berkenaan sedikit sebanyak memberi cabaran terhadap dirinya.

Maklumlah, Afifah sebagai Sandra dalam drama itu, baru pertama kali berlakon serta tidak biasa lagi akan industri lakonan tanah air.

Bertentangan dengan sifat yang lemah lembut, cabarannya perlu menjiwai bagaimana membawa watak antagonis untuk menghidupkan karakter Sandra tersebut.

“Sandra tak boleh orang lebih daripada dia dan kalah. Dalam drama ini, saya memegang watak antagonis.

“Memang ikutkan cabaran begitu tinggi kerana saya perlu bawa emosi marah, sombong, menangis serta rasa penyesalan,” katanya.

Menggunakan kebolehan yang ada sebagai bekas pemain boling, dia tidak berasa kekok semasa bermain boling ketika di set pengambaran.

Malah, Afifah turut membantu pelakon lain dari segi membetulkan cara mainan boling tenpin saat di atas gelanggang.

“Apabila saya berlakon dalam drama ini, sedikit sebanyak menjadi situasi menang-menang kerana saya tolong bahagian boling dan pelakon-pelakon lain pula tolong saya dalam lakonan.

“Watak saya sangat menarik. Bagi menjayakannya, semua itu dibantu oleh pengarah dan pelakon yang ada di set. Kami bersama-sama membantu antara satu sama lain. Mereka banyak tunjuk ajar untuk menghidupkan watak Sandra,” ujarnya.

Berkongsi kepada Utusan Malaysia, Afifah berasa senang mengambil cabaran sebagai pelakon. Bagaimanapun, dia masih kurang berpuas hati terhadap lakonannya itu.

“Mungkin berpuas hati dengan lakonan saya tetapi tidaklah 100 peratus sebab sedar, saya bukan seorang pelakon tetapi cuba ambil cabaran itu.

“Sebelum ini pun saya dah ambil cabaran besar untuk mewakili Malaysia, kenapa saya tidak boleh ambil cabaran ini,” luahnya.

REZEKI, CABARAN

Setelah mengambil keputusan bersara sebagai atlet kebangsaan pada pertengahan tahun 2020, Afifah memberitahu, akan menghabiskan masanya dalam apa sahaja bidang jika ada rezeki buatnya.

Turut berkongsi reaksinya, dia sama sekali tidak menjangka sesebuah produksi industri hiburan akan membuat cerita mengenai sukan terutamanya boling tenpin.

“Saya dah berniat dalam hati apa sahaja bidang dan rezeki di luar sana, saya akan cuba. Ini kerana, saya sudah menghabiskan masa dalam sukan boling sejak berumur sembilan tahun.

“Oleh hal demikian, saya tiada peluang untuk mencuba perkara lain.

“Seterusnya, saya juga tidak pernah terfikir ada orang yang akan membuat cerita mengenai sukan ini. Jadi, ia adalah satu peluang yang sangat besar untuk saya sertai,” kongsinya.

Merencanakan impiannya untuk lima tahun akan datang, dia berhasrat untuk menubuhkan akademi boling serta bidang lakonan pula, dia mengikut rezeki jika ada tawaran buatnya.

“Saya mempunyai niat untuk menubuhkan akademi boling terutamanya untuk berumur bawah 18 tahun.

“Dalam bidang lakonan pula, saya tidak terfikir lagi tetapi jika ada rezeki orang tawarkan berlakon, saya akan cuba tetapi akan tengok dahulu watak yang sesuai untuk dilakonkan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya