PASIR SALAK: Buluh untuk membuat lemang semakin sukar dicari malah jika ada pemilik tanah yang mempunyai tanaman itu, belum tentu mahu menjualnya.
Itu yang dialami seorang peniaga lemang di Kampung Pasir Salak di sini, Baharuddin Mustapa, 61, yang sibuk membuat persiapan membakar lemang menjelang Hari Raya Aidiladha Selasa ini.
Dikenali dengan Lemang Tradisi Pak Bahar, Baharuddin berkata, untuk Hari Raya AidilAdha kali ini dia tetap menjual lemang seperti biasa walaupun dalam suasana pergerakan orang ramai yang terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, dia bercadang membakar 600 hingga 800 batang lemang sehari sebelum Aidiladha kerana sudah ada pelanggan yang membuat tempahan.
Katanya, untuk itu dia perlu menyediakan buluh lemang yang secukupnya bagi memastikan tempahan pelanggan dapat dipenuhi namun yang menjadi cabaran ialah mendapatkan buluh lemang.
“Untuk itu, biasanya saya membeli buluh lemang daripada pemilik tanah yang ada pokok buluh dan saya bayar seruas RM1.80. Saya potong sendiri buluh itu dengan dibantu ahli keluarga.
“Setelah itu, buluh lemang dibawa ke rumah yang diangkut menggunakan kereta. Ini saja cara untuk saya mendapatkan buluh lemang di sekitar Pasir Salak.
“Ada kawasan lain yang agak mudah untuk mendapatkan buluh lemang seperti di Sungai Siput tetapi agak jauh dari sini dan sudah tentu kosnya lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Baharuddin yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia membakar lemang yang kemahirannya diwarisi daripada ibu dan ibu mentuanya.
Menurutnya, dia dibantu isteri, anak-anak dan menantunya untuk proses membuat lemang daripada mencari, menebang dan memotong buluh sehingga memasak dan dijual kepada pelanggan.
“Walaupun dalam suasana PKP, tempahan lemang sangat memberangsangkan. Saya jual antara RM10 hingga RM15 mengikut saiz dan biasanya dijual kepada pelanggan tetap yang membuat tempahan melalui media sosial sejak sebulan sebelum Aidiladha,” ujarnya.
Katanya, dia akan membakar lemang pada pagi sebelum Aidiladha di laluan utama di Kampung Gajah dekat sini mulai pukul 6 pagi dan dalam pukul pukul 10 pagi, lemang sudah siap dimasak dan dijual serta dihantar kepada pelanggan yang membuat tempahan.