ALOR SETAR: Syarikat telekomunikasi dan penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar tempatan dicadang mengadakan kempen bulan tanpa bayaran sempena sambutan Hari Kebangsaan pada Ogos depan.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Penyatuan Ummah, Zamil Ibrahim berkata, kempen tersebut bertujuan membantu meringankan beban penduduk di negara ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, syarikat telekomunikasi terbabit diharap tidak mengenakan bayaran bagi talian tambah nilai atau bayaran bil bulanan termasuk data internet.
Katanya, penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar tempatan juga boleh menjayakan kempen tersebut untuk tempoh sebulan.
“Syarikat terlibat boleh menjadikan kempen tersebut sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada Bulan Kemerdekaan nanti,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan, Malaysia Prihatin sekali lagi dikekalkan sebagai tema Hari Kebangsaan 2021 dengan sambutan rasmi juga dalam kebiasaan baharu seperti tahun lepas.
Zamil memberitahu, difahamkan syarikat-syarikat terbabit mencatat keuntungan yang tinggi daripada caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas pelanggan pada setiap bulan.
“Apalah kiranya pada bulan Ogos 2021 ini syarikat berkenaan tidak mengambil sebarang bayaran dengan menawarkan perkhidmatan percuma,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, kebanyakan penduduk di negara ini berada di rumah dan mereka mengisi waktu yang terluang itu dengan melayari internet di telefon bimbit dan menonton televisyen berbayar.
“Pengguna terpaksa membayar bil atau menambah nilai termasuk data internet lebih tinggi pada sepanjang PKP ini,” katanya.