LONDON: Raheem Sterling mengakui bukan mudah untuknya bersama England, sambil mendedahkan dia menerima pelbagai kritikan sebelum saingan Euro 2020, yang bermula pada awal Jun lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang mula mewakili skuad Three Lions pada 2012, bagaimanapun berjaya menutup mulut pengkiritik apabila meledak tiga gol dalam perjalanan mereka ke separuh akhir.
Kritikan tersebut timbul pada musim panas lalu menjelang aksi antarabangsa, dengan Sterling dilihat berpotensi menjadi kambing hitam jika England menemui kegagalan.
“Ia bukan jalan yang mudah untuk bersama skuad kebangsaan. Beberapa bulan lalu, saya boleh katakan saya dinilai dengan berat sebelah sebelum membuktikan sesuatu.
“Selaku pemain muda, sukar untuk saya mengendalikannya (tekanan). Inilah lumrah bola sepak. Anda perlu mengharunginya dengan tabah.
“Anda tidak boleh rasa kecewa, kehilangan moral dan motivasi. Anda perlu bangkit, pasang impian serta berazam.
“Itulah yang sedang saya lakukan. Saya fikir saya ini adalah salah satu prestasi terbaik saya,” kata Sterling yang kini mengumpul 66 penampilan di pentas antarabangsa.- AGENSI