'Bukan merayau, tapi mahu pergi buat ujian saringan' - Utusan Malaysia

‘Bukan merayau, tapi mahu pergi buat ujian saringan’

TANGKAP layar rakaman video yang memaparkan dua lelaki warga asing menutup lengan mereka dengan kertas putih yang berjalan di sebuah kawasan taman perumahan. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Majikan kepada dua lelaki warga asing bergelang merah jambu yang didakwa ‘merayau’ di sebuah kawasan perumahan seperti video tular di media sosial telah diberikan amaran.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, video yang tular tersebut berlaku di Taman Chembong Utama dekat sini pada 14 Julai lalu.

Hasil siasatan polis mendapati warga asing berkenaan dalam perjalanan menuju ke sebuah bas yang disediakan oleh pihak majikan mereka untuk ke Klinik Kesihatan Rembau bagi melakukan ujian saringan Covid-19 buat kali kedua.

Menurutnya, telah berlaku salah faham apabila perakam video berkenaan menyangkakan dua warganegara Bangladesh berkenaan ‘merayap’ di kawasan taman perumahan itu.

“Polis telah bertemu semua pihak yang terlibat dan pihak majikan diberikan amaran untuk memastikan perkara berkenaan tidak berulang lagi. Pekerja yang mahu menjalani ujian calitan perlu dikawal atau ditemani pihak majikan dan bukannya dibiarkan begitu sahaja sehingga menimbulkan salah faham.

“Kami juga sudah membuat perbincangan dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), majikan iaitu kilang dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Chembong Utama bagi memastikan perkara berkenaan tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, ujian saringan Covid-19 kedua bagi kedua-dua lelaki berkenaan adalah positif dan mereka kini memakai gelang berwarna biru.

Tular sejak semalam, rakaman video berdurasi 43 saat yang memaparkan dua lelaki dipercayai warga asing yang berjalan di sebuah kawasan perumahan.

Seorang lelaki yang dipercayai perakam video berkenaan kemudiannya meminta warga asing tersebut dan meminta mereka menunjukkan lengan mereka yang ditutup dengan kertas putih.

Kedua-dua lelaki itu kemudiannya didapati memakai gelang berwarna merah jambu sebelum perakam video memarahi dan meminta mereka untuk pulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya