KUALA LUMPUR: Pelakon, Faezah Elai bimbang jika persekolahan anak-anak pada tahun hadapan masih perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Justeru itu, sebagai langkah persiapan awal, Faezah, 38, menjelaskan, dia sudah mengambil pendekatan dengan mendaftarkan anaknya ke kelas tambahan.
“Risaulah tahun hadapan nanti macam mana kalau masih PdPR, tahun lalu saja pun berapa kali kelas. Jadi, saya bagi tuisyen untuk semua mata pelajaran.
“Kalau diikutkan Aurora ini umurnya masih berusia lima tahun, Disember nanti baru enam tahun. Sekarang ini dia tidak berapa nak ikut sangat dengan pengajaran dan buat apa yang dia mahukan saja. Maka cikgu-cikgu kena bersabarlah dengan dia ya (tersengih),” ujarnya.
Menerusi siaran langsung di Instagram miliknya, semalam, terdapat beberapa ibu yang senada dengan pelakon Setelah Cinta Itu Pergi. Luah pelayar Instagram, anak-anak didedahkan dengan tahap pendidikan yang disifatkan terlalu awal untuk dipelajari.
“Bagi saya Matematik untuk topik pecahan, masih terlalu awal untuk kanak-kanak pelajari. Kesian minda mereka untuk hadam. Seingat saya masa sekolah dulu, darjah empat baru belajar,” ujar Faezah yang bersetuju dengan luahan salah seorang ibu.
Untuk rekod, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM 24) itu mendirikan rumah tangga dengan seorang pengarah ternama, Heykal Hanifah pada September 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.