Bicara ditangguh, Muhammad Shafee kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

Bicara ditangguh, Muhammad Shafee kuarantin kendiri

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, bersambung pada 27 Ogos ini.

Muhammad Shafee turut dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan kerana Muhammad Shafee sedang menjalani kuarantin kendiri sehingga 1 Ogos kerana kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang bermula pada 21 Mei lalu setakat ini telah mendengar keterangan tiga saksi pendakwaan.

Mereka ialah dua pegawai bank iaitu R. Uma Devi, 41, dan Rosnita Ahmad, 41, serta wartawan Malay Mail, Lim Lee Ting, 32.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil
kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd., J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu
mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967
bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan
Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN