SHAH ALAM: Busana Kontingen Malaysia pada upacara perasmian Sukan Olimpik 2020 Tokyo rekaan pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM), mengambil masa yang singkat iaitu 18 hari untuk direka dan disiapkan.
Pasukan pereka busana tersebut bukan sahaja melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat malah perlu melakukan ujian calitan untuk melakukan proses mengukur saiz tubuh 26 atlet dan pegawai kontinjen.
Menurut pensyarahnya, Khairulazlan Abdul Karim, 46, dia perlu mengejar masa untuk memastikan rekaan busana disiapkan terlebih dahulu bermula 29 Jun lalu sebelum ukuran setiap ahli kontinjen boleh diambil.
“Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya perlu menyelaras penghasilan tanjak, baju sikap, baju Melayu dan lain-lain. Setiap satu pakaian dibuat oleh beberapa alumni UiTM.
“Tempoh masa 17 hari bermula hujung Jun lepas memerlukan semua proses pembuatan busana dilakukan dengan pantas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puncak Alam hari ini.
Beliau menambah, antara anggota pasukannya adalah pensyarah, Mohammad Wazir Jahilan dan pelajar FSSR, Muhammad Fawwaz Mohd Fuat.
Jelas Khairulazlan, selain masalah SOP untuk berurusan dengan atlet di pusat latihan, pihaknya menghadapi masalah untuk melakukan sesi percubaan (fitting) bagi memastikan saiz busana yang disiapkan menepati ukuran tubuh ahli kontinjen.
Busana yang bernilai RM30,000 tersebut untuk kesemua kontinjen mengambil masa seminggu untuk fitting dan proses pindaan.
“Masalahnya apabila ahli kontinjen mencuba pakaian tersebut saya dan ahli pasukan tidak boleh tengok. Saya perlu meminta bantuan pegawai berkenaan untuk membuat rakaman video atau gambar pegun sebagai rujukan.
“Alhamdullillah selepas dua minggu, segalanya lengkap dari tanjak hinggalah pakaian bertema Laksamana Hang Tuah tersebut. Pihak saya dapat serahkan kepada semua ahli kontinjen ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 17 Julai lalu,”katanya.
Beliau yang pernah mendapat anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa berkata, kejayaan tersebut membuktikan pensyarah, pelajar dan alumni UiTM mampu menghasilkan ciptaan busana bertaraf dunia.