Bersyukur dapat solat Jumaat ikut keluasan masjid - Utusan Malaysia

Bersyukur dapat solat Jumaat ikut keluasan masjid

JEMAAH  menunaikan solat Jumaat mengiktu keluasan ruang solat di Masjid Daerah Sultan Idris II Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jemaah Masjid Daerah Sultan Idris II di sini, bersyukur apabila kembali dapat menunaikan solat Jumaat di masjid hari ini sejak lebih sebulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Umat Islam di negeri ini dibenarkan solat di masjid selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau di negeri ini mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan dalam tempoh pelan pemulihan negara berfasa di Perak.

Sebelum ini, hanya 12 jemaah termasuk imam dibenarkan menunai solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau di negeri ini dalam tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 hingga 14 Jun lalu. 

Tinjauan Utusan Online di Masjid Daerah Sultan Idris Shah II di sini mendapati, pihak pengurusan masjid melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal terhadap jemaah.

Jemaah menjalani imbasan suhu, mendaftar kehadiran di aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke ruang masjid dan memakai pelitup muka.

Seorang jemaah, Mohamad Yusri Mohd. Sanusi, 28, berkata, dia gembira diberikan peluang menunaikan solat Jumaat buat kali pertama semasa PKP 3.0 dan ia merupakan saat dinanti-nantikannya.

“Saya amat bersyukur kerana akhirnya dapat menunai solat Jumaat di masjid ini selepas sekian lama. Sebelum ini memang solat Jumaat dibenarkan namun jumlah jemaah dihad.

“Hari ini keadaannya berlainan dengan jumlah jemaah solat Jumaat mengikut keluasan ruangan utama solat masjid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jaafar Mohamed Noor, 56, berkata,  suasana di masjid pada solat Jumaat hari ini berbeza apabila jemaah dibenarkan bersolat mengikut keluasan masjid.

“Sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana dapat ke masjid untuk solat Jumaat. Saya berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir supaya jemaah dapat menunai solat seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya