IPOH: Umat Islam di negeri ini kembali menunaikan solat mengikut keluasan dewan solat utama dalam tempoh pelan pemulihan negara berfasa di Perak.
Ia berkuat kuasa mulai solat Maghrib hari ini.
Tinjauan Utusan Online di Masjid Sultan Azlan Shah di sini mendapati, pihak pengurusan masjid melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal terhadap jemaah.
Jemaah menjalani imbasan suhu, mendaftar kehadiran di aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke ruang masjid dan memakai pelitup muka.
Selepas solat Maghrib, diadakan majlis bacaan Yassin.
Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang turut menunai solat Maghrib di masjid berkenaan berkata, beliau bersyukur kerana umat Islam di negeri ini dapat kembali ke masjid.
Zamri turut menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah semalam yang memberi perkenan jemaah menunaikan solat mengikut keluasan ruang utama masjid.
“Saya memohon masyarakat menggunakan kesempatan ini untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah.
“Gunakan kesempatan ini untuk berdoa dan muhasabah diri masing-masing.
“Pesanan saya, patuhi SOP dan buktikan pengunjung masjid adalah penyebar
keamanan dan keselamatan dengan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Semalam, Sultan Nazrin memperkenan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan dalam tempoh pelan pemulihan negara berfasa di Perak.
Sebelum ini, hanya 12 jemaah termasuk imam dibenarkan menunai solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau di negeri ini dalam tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE