PETALING JAYA: Penyanyi versatil, Nubhan Ahamad, menitipkan rasa simpati buat penyanyi terkenal, Siti Nordiana terhadap isu yang dihadapi yang boleh menjejaskan nama baiknya, baru-baru ini.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Ada Untukmu itu memberi reaksi terhadap isu yang berlaku kerana tidak menyangka perkara tersebut sehingga ke tahap saman.
“Kesian rakan duet saya, tidak sangka isu kawan-kawan boleh sampai ke tahap saman menyaman. Gaduh-gaduh sikit, lepas cakap itu biasalah dalam berkawan.
“Kawan-kawan ini jika sudah selesa, semua dia cerita dan luah. Dari itulah kita tahu kelemahan serta gila masing-masing. Tapi janganlah buat Live. Adoi! Nak cakap lebih, mereka kawan saya juga,” katanya.
Bagaimanapun, Nubhan menyifatkan isu yang berlaku tersebut adalah adat dalam persahabatan dan berharap konflik berkenaan dapat diselesaikan dengan baik.
“Maaf bermaafanlah, kita tidak mahu tahu pun siapa salah mahu pun betul. Bila jadi sesuatu perkara, pasti masing-masing ada salah. Kawan kan?
“Memang mulut longkang itu perkara biasa. Itu juga kita kawan malah bertahun-tahun pun. Ini bukan nak sebelahkan sesiapa, Cuma nak lihat mereka ini berdamai,” coretnya di Instagram.
Sebelum ini, isu tercetus apabila nama Nana disebut dalam sesi siaran langsung di Instagram penyanyi Lan Solo, Syura, isteri Lan iaitu Sheila, jurusolek Aida G serta pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin, pada 20 Julai lalu.
Kemudian, Sheila meluahkan rasa terkilan apabila Lan dikatakan menumpang populariti Nana. Malah, ia menjadi medan untuk mereka meluahkan apa yang terpendam di hati selama ini membabitkan konflik yang berlaku.