Bendera putih: Terserah mufti beri pandangan - Utusan Malaysia

Bendera putih: Terserah mufti beri pandangan

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan menerusi program Inspirasi Prihatin Yapeim dan Foodbank Yapeim 3.0 di hadapan SMK Pasir Panjang, Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Terserah kepada mana-mana mufti di negeri masing-masing untuk menyatakan pandangan mereka mengenai kibaran bendera putih yang dijadikan kempen di media sosial sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk meminta bantuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat mengenai hal itu, apa yang lebih penting adalah membantu masyarakat yang dalam kesusahan.

“Saya serahkan kepada sahibus samahah datuk-datuk mufti, saya tengok banyak pandangan mereka, yang saya katakan tadi kita bantu, matlamat kami, kami bantu seadanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Pasir Panjang dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih dan muftinya, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan kerana mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Bagaimanapun, Wan Salim kemudiannya memohon maaf kepada semua pihak atas kekeliruan yang timbul berhubung kenyataan beliau itu dan menegaskan kenyataannya adalah semata-mata didorong kebimbangan ia boleh menggugat akidah seseorang Muslim.

Dalam pada itu, menurut Zulkifli, Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang baru-baru ini memutuskan ibadat korban adalah dibenar untuk dilaksanakan termasuk di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Namun begitu, jelas beliau, mestilah mengikut tiga pilihan prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain nasihat daripada mufti-mufti setiap negeri.

“Bila (mengenai) SOP korban kita juga mesti meraikan satu situasi yang berlaku ketika hampir menjelang korban itu. Kita mengharapkan apa yang kita buat itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Cuma, saya juga mengambil pandangan bahawa isu ini adalah di bawah agama negeri masing-masing dan di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku negeri masing-masing, tetapi daripada sudut Muzakarah Fatwa Kebangsaan, kita bersetuju membenarkannya,” katanya.

Sementara itu, dalam program tersebut, beliau menyerahkan sumbangan kepada keluarga tiga orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang selain sumbangan 70 Set ‘Foodbank Dryfood’ bernilai RM7,000 kepada SMK Pasir Panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya