Bendera putih: Nik Abduh akui ramai marah, 'viral bukan panji kebenaran' - Utusan Malaysia

Bendera putih: Nik Abduh akui ramai marah, ‘viral bukan panji kebenaran’

pn
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sedar pandangannya tentang rakyat tidak patut diajar menyerah kalah berdepan ujian dengan cara mengibarkan bendera putih, mengundang kecaman orang ramai.

Menerusi status terkini di akaun Facebooknya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mengakui, ramai yang marah terhadapnya dan meminta beliau memohon maaf kerana membuat kenyataan tersebut.

Bagaimanapun tegas Nik Mohamad Abduh, pendapatnya mengenai isu bendera putih tersebut masih tidak berubah, biarpun menjadi pandangan ‘kedua’ yang dilihat bertentangan dengan pandangan ‘ramai’.

“Tulisan saya sentiasa tegar mengajak rakyat Malaysia berfikir secara dalam dan teliti demi kesejahteraan negara. Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha berterusan atau mudahnya, lawan dengan cara anjuran agama.

“Cadangan kekal cadangan. Ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral. Siapa pun berhak menolak cadangan. Yang ditegah adalah menolak kebenaran. Viral bukan panji kebenaran,” katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, sebahagian perkara viral diakui memberi kebaikan, namun beliau juga yakin, sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipu daya iblis yang mendorong kepada kenistaan, kebencian dan pelecehan sesama insan.

“Janganlah ketika Allah menurunkan bencana Covid-19, Allah juga mengangkat akhlak, adab dan susila daripada kita semua. Terus menelusuri sunnah nabi,” katanya.

Baru-baru ini, warganet mengecam kenyataan Nik Mohamad Abduh di Facebooknya yang berpendapat rakyat tidak wajar mengangkat bendera putih, sebaliknya mereka perlu mengangkat tangan berdoa kepada tuhan.

Tulisan beliau dipercayai merujuk kempen kibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang digerakkan pelbagai pihak, susulan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sekatan penuh pergerakan atau total lockdown.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya