Bendera putih: Econsave terima 300 permintaan - Utusan Malaysia

Bendera putih: Econsave terima 300 permintaan

PENGHUNI rumah yang terjejas lazimnya akan mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tidak sampai 24 jam Pasaraya Econsave Cash & Carry (Econsave) melancarkan kempen kibarkan bendera putih di bawah inisiatif Econsave Prihatin, lebih 300 pesanan melalui aplikasi WhatsApp diterima sehingga tengah hari ini.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya tidak menyangka kempen yang menyasarkan bagi membantu golongan memerlukan yang terjejas kerana pandemik Covid-19 itu mendapat sambutan luar biasa.

Beliau berkata, daripada ratusan pesanan WhatsApp yang diterima, 30 peratus yang memohon sumbangan barangan makanan asas itu dipercayai terdiri daripada golongan M40.

“Kira-kira 100 mesej datangnya dari Johor melibatkan hampir seluruh daerah di negeri ini. Sejak awal pagi tadi, kita sudah mula menggerakkan usaha penyerahan sumbangan secara berperingkat yang dibuat di semua kawasan mengikut cawangan pasar raya terdekat.

“Misi kita mudah sahaja, kita nampak mereka naikkan bendera putih, kita akan datang untuk hantarkan bantuan makanan asas. Kita tidak menetapkan satu peruntukan khas untuk kempen ini, cumanya kita akan bantu hanya mengikut kemampuan.

“Ada juga bantuan yang dihantar kepada penerima di rumah kondominium dan teres dua tingkat. Kita bersangka baik, mungkin mereka ini golongan M40 yang terjejas pendapatan atau hilang pekerjaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mas Imran mengunjungi rumah yang didiami ibu tunggal, Ruzaitunsansuria Ab. Kadir, 43, yang hanya bergantung harap bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk menyara dua orang anak yang masih bersekolah.

Katanya, antara barangan makanan yang diberikan adalah beras, tepung, gula, kopi, biskut, telur, milo, sardin serta sayur-sayuran.

Menurut Mas Imran, dia juga terkejut apabila ramai keluarga dalam kalangan M40 turut memohon bantuan makanan yang disasarkan kepada golongan B40 yang dikhuatiri terlepas pandang daripada menerima bantuan atau hidup dalam kesusahan.

“Kita tidak boleh skeptikal terhadap hal itu kerana ini adalah realiti yang berlaku di Malaysia hari ini apabila ramai golongan M40 terjerumus ke peringkat B40.

“Mungkin sebelum ini mereka malu untuk berkongsi bahawa betapa hidup mereka yang dahulu mewah dan berpendapatan tinggi kini menjadi susah dan dikelilingi masalah kewangan. Jadi, kita akan bantu setakat yang mampu bagi mereka yang menaikkan bendera putih,” katanya.

Econsave meminta orang ramai untuk mengambil gambar dan kongsikan alamat individu yang dikenal pasti menaikkan bendera putih kepada mereka ke nombor 016-2137387 atau mesej ke Facebook EconsaveMY.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya