Belum dikecam, tapi orang sedang tertunggu-tunggu - Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Belum dikecam, tapi orang sedang tertunggu-tunggu – Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Diumum sebagai pengacara baru program Nona di TV3, pelakon, Amyra Rosli, 30, mengaku sehingga sekarang masih tidak menyangka tawaran besar seperti itu datang kepadanya.

Bagaimanapun, kata Amyra, dia sedar bahawa akan ada pihak mahupun penonton yang akan menilai dan membanding-bandingkan dirinya dengan pengacara sebelum ini apatah lagi Nona merupakan sebuah jenama program yang kuat dalam rangkaian penerbitan di TV3.

“Jadi saya sudah membuat persediaan diri dan yakin 101 peratus mampu mengendalikan program itu dengan baik. Bukan tidak peduli dengan kata-kata orang, sebab adakala kita buat baik pun orang mengata.

“Apa yang saya dapat ini adalah rezeki dan saya akan buat dengan cara tersendiri. Tak ada orang yang sempurna dan saya akui mungkin akan melakukan kesilapan cuma kita boleh bangkit dan perbaiki kesilapan itu,”katanya.

Amyra berkata demikian semasa ditemui dalam satu sidang media yang diadakan secara virtual hari ini.

Selain itu, kata pelakon ini, dia lebih gemar untuk sentiasa bersikap positif dan meletakan keyakinan selain mahu mencabar diri sendiri.

“Dulu ada rasa takut-takut tapi bila saya fikir balik, buat apa nak takut. Umur pun sudah masuk 30 tahun dan ada pengalaman dalam industri. Tak salah kalau saya nak mencabar diri sendiri.

“Mungkin sekarang ini belum ada yang kecam lagipun rasanya tak ada apa sangat cerita menarik Amyra Rosli ini yang nak digembar-gemburkan. Tapi saya tahu, ramai yang sedang tertunggu-tunggu kemunculan saya menerusi program Nona ini.

“InsyaAllah, dengan adanya bimbingan daripada pasukan Nona di belakang, saya yakin dapat menjalankan tugas ini dengan baik. Saya tak mahu terlalu fokus pada tekanan daripada orang luar,”katanya.

Dalam pada itu, kata Amyra, dia yang mengidolakan Puan Seri Normala Samsudin melihat wanita hebat tersebut sebagai ikon yang tiada galang gantinya dalam dunia pengacaraan.

“Tetapi boleh dikatakan pengacara lain juga hebat di mata saya. Contohnya, Uyaina Arshad, Mira Filzah, Fouziah Gous, semuanya ada kelebihan tersendiri.

“Satu yang saya ambil berat, nak jadi pengacara ini kita kena bijak dan cekap. Tidak mengapa kalau yang lain itu kita jadikan sebagai sumber inspirasi.

“Saya juga gembira bila dimaklumkan ketika mengacara nanti tidak perlu sentiasa kawal keayuan sahaja. Antara suntikan baru dalam program Nona kali ini, saya boleh mengacarakannya secara santai,”katanya.

Program Nona telah diterbitkan sejak tahun 1985 dan menyaksikan nama-nama besar sebagai pengacaranya.

Selain Normala, antara yang lain termasuk, Nurfarahin Jamsari, Azizah Ariffin, Raja Mazian Raja Mohamed, Nurul Syuhada Nurul Ain, Maya Karin, Vanidah Imran, Fara Fauzana dan Neelofa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya