PASIR PUTEH: Menjelang Aidiladha tidak lama lagi, makanan eksotik, belalang liar menjadi pilihan penduduk di negeri ini sebagai juadah di pagi hari raya, sama ada dimasak kerutuk atau goreng kunyit.
Bagi penggemarnya, belalang dikatakan enak dimakan bersama ketupat palas atau ketupat nasi.
Pengusaha belalang kerutuk, Roslina Mohd. Othman, 41, dari Kampung Bukit, Telipot, berkata, dia tidak menang tangan menyiapkan belalang kerutuk yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Roslina berkata, harga sekilogram belalang lebih mahal berbanding sekilogram daging lembu kebanyakannya ditangkap secara manual menggunakan tangan tanpa peralatan khas.
Katanya, harga pasaran runcit serangga itu kini RM70 sekilogram manakala harga borong RM50 bergantung kepada musim serta situasi banyaknya belalang di sekitar sawah padi.
“Saya mendapat bekalan belalang hidup daripada penduduk Felcra Teratak Batu, Kampung Changgai dan Kampung Panggung selain belalang yang dicari oleh penduduk Kampung Bukit.
“Permintaan kali ini agak tinggi kerana kerutuk belalang bagaikan serunding yang enak dimakan dengan ketupat yang dijadikan sebagai juadah istimewa hari raya,” ujarnya.
Menurut Roslina, dia hanya berupaya memasak sebanyak tiga kilogram belalang sehari yang memakan masa selama tiga jam untuk siap tidak termasuk proses membungkus.
“Sebanyak tiga kilogram belalang mampu menghasilkan 46 bekas seberat 100 gram yang dipasarkan ke seluruh negara dengan harga RM12 tiap satu manakala tempahan dalam daerah dihantar sendiri dari rumah ke rumah,” katanya.
Katanya, proses membersih belalang, membuang sayap, kaki berduri, kepala dan bahagian najis juga memakan masa yang lama dan kerja renyah itu diuruskan ahli keluarga.
“Kalau upah orang kerja menyiang belalang, kita kena bayar RM20 untuk satu kilogram belalang,” katanya.
“Masakan tradisional warisan keluarga ini mendapat permintaan paling tinggi penggemar dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Perlis,” katanya.
Roslina berkata, perusahaan yang sebelum ini dijalankan secara sambilan turut membuka peluang perniagaan kepada suri rumah lain yang berminat menjadi ejen jualan belalang goreng kerutuk. – UTUSAN