PETALING JAYA: Seorang bekas ratu cantik negara ditahan selepas bertindak merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Raya Persekutuan, awal pagi tadi.
Wanita berusia 28 tahun yang dipercayai mabuk itu, ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Petaling Jaya bersama rakannya dalam kejadian kira-kira 2.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, setibanya di SJR, wanita terbabit tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya terus merempuh sekatan.
Katanya, anggota kereta peronda polis segera mengejar dan menahan kenderaan suspek namun wanita itu turut menumbuk anggota polis yang cuba menahannya.
“Turut cedera adalah rakannya akibat dipukul suspek yang dipercayai mabuk.
“Wanita berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,”
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua wanita berkenaan juga didapati positif dadah jenis ganja. – UTUSAN ONLINE