HULU TERENGGANU: Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Berang, di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul tiga kakitangan wanita, awal tahun ini.
Tertuduh, Aminuddin Jusoh@Yusof, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap tiga kakitangan sekolah berkenaan dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berasingan termasuk dalam stor sekolah, berhampiran tangga koridor bilik dan dalam bilik guru antara pukul 9 pagi hingga 3.30 petang, pada Januari hingga Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, manakala tertuduh diwakili peguam, Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 September ini dan Aminuddin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000. – UTUSAN ONLINE