JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah Segamat didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Nazri Izuddin Madon, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM10,000 daripada seorang individu.
Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan bagi tertuduh untuk melantik syarikat tertentu melaksanakan kerja projek bantuan rumah negeri Johor dan projek kerja kecil dalam daerah Segamat bagi tahun lalu.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Daerah Segamat, kira-kira pukul 2.45 petang pada 19 Oktober 2020.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.
Perbuatan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahim Ali.
Zander Lim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga negara selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.
Abdul Rahim bagaimanapun, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM7,000 memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua anak yang seorang daripadanya mempunyai penyakit ekzema kronik.
“Tertuduh kini masih berkhidmat di sebuah agensi kerajaan negeri di Johor Bahru, namun perlu menanggung anak yang mempunyai penyakit kronik malah isterinya terpaksa bercuti sementara bagi memberi tumpuan menjaga anak mereka,” katanya.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Ogos ini bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN ONLINE