Bekas ketua jabatan projek didakwa atas 20 pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Bekas ketua jabatan projek didakwa atas 20 pertuduhan rasuah

YEKSON Alef Alirman mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan rasuah berjumlah RM141,030 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Seorang bekas ketua jabatan projek syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 20 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM141,030 antara November 2016 hingga Februari 2019.

Tertuduh, Yekson Alef Alirman, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua 20 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga 20, Yekson yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua jabatan projek kejuruteraan di syarikat Nissha Precision Technologies Sdn. Bhd. dituduh telah menerima wang tunai berjumlah RM136,030 daripada Ahmad Nazri Jusoh menggunakan akaun Public Bank sebagai upah untuk memberikan pembekalan alat jig kepada syarikat Maqna Glokal Ventures oleh syarikat dia bertugas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan Sungai Chua, Kajang antara 2 November 2016 hingga 18 Februari 2019.

Bagi pertuduhan ke-19, tertuduh yang telah membuat persetujuan untuk berhenti kerja pada November 2020 dituduh telah menerima wang tunai bernilai RM5,000 daripada individu sama menggunakan akaun Affin Islamic Bank Berhad sebagai upah untuk memberikan pembekalan alat jig kepada syarikat sama di cawangan bank berkenaan di Bandar Baru Bangi pada 7 Oktober 2018.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gan Peng Kun menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa milik tertuduh kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan turut memohon agar tertuduh tidak menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Peguambela, Muhammad Nor Izzat Nordin bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan tertuduh masih tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menanggung kedua ibu bapa dan tiga orang cahaya mata.

Muhammad Nor Izzat turut memohon mahkamah memberikan jaminan lebih rendah antara RM15,000 hingga RM20,000 memandangkan anak guamnya tidak pernah ditahan reman dan memberikan kerjasama penuh selama setahun kes itu disiasat pihak SPRM  bermula Julai tahun lalu sehingga semalam.

“Anak guam saya hanya dimaklumkan pertuduhan kes ini minggu lepas dan dia hadir hari ini ke pejabat SPRM Putrajaya sebelum ke mahkamah hari ini sendiri,” ujarnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin warganegara selain membenarkan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

Kes disebut semula pada 26 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya