PETALING JAYA : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Batu Maung, Datuk Mansor Musa, akan menghadapi 58 lagi pertuduhan berkaitan rasuah bernilai RM9.22 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Beliau yang juga Pengerusi sebuah koperasi hartanah di sini turut menghadapi 106 pertuduhan bernilai lebih RM11 juta di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang pada Isnin lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, sebanyak 42 pertuduhan akan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Selain, kata sumber itu, sebanyak 16 pertuduhan lagi dibuat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Beliau didakwa menerima sogokan sebagai balasan melantik syarikat pemaju untuk menjalankan usaha sama di tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.
“Sehubungan itu, beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 pagi esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Mansor mengaku tidak bersalah atas 106 pertuduhan berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta terhadapnya.
Beliau membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen, Isnin lalu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut 42 pertuduhan, dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dan harta milik syarikat yang merupakan hasil kepada suatu aktiviti haram.
Sementara itu, bagi 62 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima wang dan harta daripada syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di antara September 2011 hingga Ogos 2020 dengan membabitkan nilai lebih RM11 juta.
Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 beserta seorang penjaminsementara menunggu tarikh sebutan semula kespada 28 September ini. – UTUSAN ONLINE