BUTTERWORTH: Sebuah kontena dengan muatan bahan buangan elektrik dan elektronik yang cuba dibawa masuk menerusi Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC) di sini, diarah dihantar pulang ke negara asal iaitu Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS ) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, arahan itu dikeluarkan selepas mendapati bahan buangan elektrik dan elektronik berkenaan dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di negara ini tanpa kelulusan pihaknya terlebih dahulu.
Jelas beliau, kontena itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai JAS negeri bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Cawangan Pelabuhan NBCT), semalam.
Ujarnya, antara bahan buangan yang ditemukan di dalam kontena tersebut adalah skrin elektronik rosak, papan pemuka yang berada dalam keadaan terlerai dan komponen-komponen elektronik lain.
“Sehubungan itu, kita memberi notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.
“Kegagalan pengimport mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan tindakan yang tegas diambil tanpa notis lanjut,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas beliau, mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual termasuk E-Waste (SW110) ke Malaysia tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Alam Sekitarn adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jika sabit kesalahan kata beliau, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.
“Bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara yang diperuntukkan seperti yang dinyatakan di Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Bahan buangan ini perlu diuruskan pelupusannya mengikut kaedah yang betul kerana buangan tersebut mengandungi bahan berbahaya seperti logam-logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan secara selamat (environmentally sound manner),” tambahnya.
Jelasnya, di bawah Konvensyen Basel pula kelulusan awal daripada negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk ‘e-waste’.
“Mengikut prinsip asas Konvensyen Basel setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan telah mendapat kelulusan awal JAS,” katanya. – UTUSAN ONLINE