Barang buangan terjadual tapi isytihar sekerap logam - Utusan Malaysia

Barang buangan terjadual tapi isytihar sekerap logam

SALAH sebuah  kontena yang berisi barangan buangan terjadual yang cuba dibawa masuk ke Malaysia dipatahkan JAS di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mematahkan cubaan membawa masuk 19 kontena mengandungi barangan buangan terjadual dari luar negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini.

Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, perbuatan itu dikesan semasa menjalankan pemeriksaan kontena dengan kerjasama pihak berkuasa PTP sejak 19 Julai lalu hingga semalam.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati setiap kontena itu menggunakan borang deklarasi palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berdasarkan borang deklarasi, barang dagangan yang dibawa adalah sekerap logam namun hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ia adalah barang yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu membawa buangan yang yang mengandungi bateri plumbum (SW 102), bateri lithium (SW 103), buangan elektrik dan elektronik (SW 110), dan kabel wayar berpenebat (SW 422).

“Kesemua kontena ini akan diarahkan untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan prosedur Konvensyen Basel,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Famey berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua 10 syarikat pengimport yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan kompaun ditawarkan terhadap syarikat pengimport yang terlibat melainkan mengarahkan kontena mengandungi barangan buangan terjadual untuk dihantar balik ke negara asal.

“Mana-mana pihak diingatkan bahawa pengimportan sekerap logam dan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya