MERSING: Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera selepas lori tangki jenis sinotruck yang membawa muatan cecair karbon dioksida dinaiki mereka terbabas di Kilometer 20, Jalan Jemaluang-Mersing, hari ini.
Mangsa, Kamaruzaman Isman, 50, berasal dari Felda Mawar Pasak, Kota Tinggi disahkan maut di lokasi kejadian manakala anaknya yang berusia 23 tahun dibawa ke Hospital Mersing.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima panggilan daripada orang awam menyatakan terdapat kemalangan pada pukul 1.45 petang.
“Siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu bersama penumpang hadapan berusia 50 tahun yang merupakan bapa pemandu dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke Jemaluang.
“Ketika tiba di tempat kejadian dengan keadaan jalan jenis selekoh, pemandu lori tangki yang membawa muatan cecair karbon dioksida itu dipercayai telah hilang kawalan.
“Ekoran itu menyebabkan lori berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan secara mengiring di bahu jalan menuju ke arah Jemaluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cyril berkata, akibat hilang kawalan tersebut, mangsa penumpang hadapan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Mersing yang tiba di tempat kejadian.
Katanya, pemandu lori terbabit berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dirujuk ke unit kecemasan Hospital Mersing bagi tujuan rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Azhari Awi ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat. – UTUSAN ONLINE