Banjir KUBANG PASU: Beberapa kawasan di sekitar Changlun di sini, dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, antara kawasan terlibat Titi Kerbau, Temin dan Sungai Laka di sini selepas hujan lebat bermula pada pukul 3 petang.
“Banjir kilat yang mengakibatkan kawasan tersebut dinaiki air sedalam antara 0.50 meter hingga satu meter bermula dari pukul 4 petang hingga 5.30 petang.
“Keadaan banjir kilat ini semakin serius apabila air dari bukit berdekatan melimpah di kawasan itu hingga saliran berdekatan tidak dapat menampung aliran air hingga menyebabkan banjir kilat.
“Semasa banjir kilat itu, arus air sangat deras dan kenderaan ringan tidak dibenarkan melalui di jalan kawasan berkenaan dan hanya kenderaan berat sahaja dibenarkannya,” katanya semasa dihubungi.
Bagaimanapun menurut Adenin, keadaan banjir kilat sudah terkawal dan air semakin surut serta kenderaan ringan sudah dibenarkan melalui di jalan berkenaan. – UTUSAN ONLINE