DUNGUN: Bangkai seekor penyu agar jantan yang sudah reput ditemukan terdampar di Pantai Kuala Abang di sini semalam.
Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, bangkai reptilia marin berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 9 pagi.
“Kita dapati penyu malang itu dalam keadaan membengkak dengan usus perutnya terkeluar pada bahagian belakang badan.
“Bagaimanapun, tiada kesan kecederaan akibat perbuatan khianat dikesan pada keseluruhan anggota badan dan kita percaya haiwan itu sudah mati kira-kira seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruzaidi berkata, sehingga kini sebanyak 24 kematian penyu direkodkan di seluruh negeri, sejak Januari lalu.