PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah melakukan persiapan terbaik buat semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dalam memastikan semua pemain menerima kemudahan terbaik, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sudah merangka pelbagai bentuk perancangan termasuk menjalani latihan di Ehime sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun semuanya tergendala kerana pandemik Covid-19.
Susulan itu, Mohamad Norza mengambil tindakan drastik dengan menghimpunkan semua atlet termasuk pemain muda untuk menjalani latihan di bawah satu bumbung menggunakan konsep gelembung sukan dengan peraturan yang sangat ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Ini merupakan detik yang tidak dapat dijangka, kali terakhir kita dilanda wabak ialah 100 tahun lalu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mengganggu persiapan atlet khususnya untuk bertanding di luar negara.
“Saya percaya, masa sukar yang dilalui setiap pemain akan menguatkan fizikal dan mental mereka untuk menghadapi Tokyo.
“Kami tidak membezakan pemain BAM dan pemain profesional kerana kita adalah Malaysia. Mereka bekerja keras dalam keadaan yang sangat sukar. Saya begitu terharu dengan semangat dan komitmen mereka,” katanya.
Mohamad Norza gembira dengan persembahan yang ditampilkan Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Walau apa juga hasil daripada Olimpik Tokyo 2020, BAM sudah bersedia dengan perancangan Projek 2024 dan Program Junior Elit bagi menghasilkan pemain berkualiti.
“Kami telah mendedahkan Zii Jia di pentas utama termasuk mengetuai cabaran di Piala Thomas.
“Dia agak bergelut di Thailand tetapi saya percaya ia memberikan keyakinan kepadanya dan membolehkannya menjadi juara All England,” katanya.