‘Balik kampung? Sabarlah empat, lima bulan lagi’ - Utusan Malaysia

‘Balik kampung? Sabarlah empat, lima bulan lagi’

ISMAIL Sabri Yaakob dan Mohd. Salim Mohd. Sharif melihat proses pemberian vaksin yang dilaksanakan di PPV Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Jempol. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menasihatkan orang ramai mengambil iktibar penularan Covid-19 yang berlaku semasa Aidilfiri lalu dengan tidak cuba merentas negeri dan daerah pulang ke kampung untuk sambutan Aidiladha.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersabar sehingga imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dapat dicapai pada November nanti bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Saya nasihat ambil ikhtiar kes yang berlaku pada Aidilfitri, mungkin kita boleh gunakan kecekapan kita menipu pihak polis untuk balik ke kampung, guna jalan kampung, jalan kebun kelapa sawit tetapi Covid-19 mungkin menanti di kampung dan kita bawa wabak itu dan menjangkiti keluarga hingga menyebabkan kematian.

“Sebab itu saya kata sabar dahulu, kalau boleh sehingga imuniti berkelompok akan dicapai pada Oktober atau November dan kita boleh balik kampung, pada masa itu tidak ada isu lagi. Kita sudah tunggu selama setahun lebih, dalam masa empat, lima bulan nanti, kita boleh bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan melihat proses pemberian vaksin secara pandu lalu yang dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.

Sementara itu, mengulas larangan menggunakan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bermula hari ini sehingga Rabu depan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merentas negeri dan daerah, Ismail Sabri berkata, ia ekoran ada pihak menyalahgunakan menggunakan surat tersebut pada Aidilfitri yang lalu.

“Mereka sanggup bawa lori kerja balik kampung, akhirnya berlaku kebanjiran balik kampung beratus-ratus ribu waktu itu (pulang ke kampung) dengan pelbagai alasan termasuk (guna) surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Akhirnya selepas raya, kita lihat kes mendadak meningkat kerana kluster rentas negeri begitu tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya