PORT DICKSON: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menggunakan bakat melukis yang dimilikinya bagi menampung kehidupannya di Kampung Linggi, di sini.
Abdul Halim Said, 49, yang juga bekas atlet paralimpik berkata, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia tinggal di rumah kakaknya di Klang, Selangor dan akan pergi melukis di sekitar Bukit Bintang di ibu negara.
Bagaimanapun, selepas itu, dia mengambil keputusan pulang ke kampung kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain serta mahu berdikari.
“Di Bukit Bintang kebiasannya dalam tempoh seminggu, tiga lukisan saya akan terjual sama ada potret ataupun lukisan spontan.
“Bila pulang ke kampung tempahan memang kurang, namun saya tetap terbuka untuk menerima tempahan walaupun keadaan kesihatan kini yang tidak mengizinkan. Baru-baru ini saya telah menerima tempahan tiga lukisan daripada bekas rakan sekerja saya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Berkongsi kisah, Abdul Halim berkata, dia mengalami kemalangan pada 1997 di kampungnya itu yang menyebabkan dia mengalami putus saraf pinggang.
“Mujur saya ada menerima elaun pekerja cacat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dan bantuan beberapa pihak yang dapat menampung keperluan saya,” katanya lagi.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan lukisan oleh Abdul Halim boleh berbuat demikian di akaun Facebook, Conteng Art. – UTUSAN