PONTIAN: Seorang pesara Kementerian Kesihatan yang terlantar sakit berdepan masalah ekoran wang pencen bulanan yang diterimanya tidak dapat dikeluarkan sejak April lalu yang berjumlah RM800 sebulan.
Ini berikutan Mohd. Ismail Markom, 71, yang terlupa kata laluan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya tidak berupaya untuk membuat kad baharu ekoran keadaan diri selepas terlibat kemalangan jalan raya, 22 April lalu.
Menurut anaknya, Ridhuan, 35, dia telah beberapa kali cuba berurusan dengan institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan kad ATM yang baharu, namun ditolak oleh pihak bank tersebut.
Katanya, mereka memberikan alasan perlu mengikut prosedur kewangan di mana pemilik ATM sendiri perlu datang ke bank untuk mendapatkan nombor pin baharu, sedangkan bapanya telah hampir empat bulan terlantar di atas katil.
“Kaki kanannya patah, tiga tulang rusuk patah dan ditebuk di bahagian leher bagi membolehkan tiub dimasukkan selain pendarahan di kepala, ayah saya tidak mampu untuk bergerak, saya hadir ke bank dengan membawa bukti dan dokumen sokongan seperti kad pengenalan ayah dan kad pengenalan saya sendiri.
“Walaupun sekadar RM800 sebulan, ia amat bererti kerana dapat menampung kos pembelian barangan keperluan ayah yang kini menggunakan sepenuhnya simpanan kami adik-beradik seramai enam orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Pak Intan, Parit Sikom, semalam.
Ridhuan berkata, dalam kemalangan itu, bapanya yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar ibunya, Kasmini Suratal, 67, ke tempat kerja membuat kuih-muih sebelum mereka dirempuh sebuah kereta ketika membelok masuk di Kampung Parit Haji Siraj.
Ekoran pelanggaran itu, Mohd. Ismail menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru selama 12 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama empat hari, manakala Kasmini hanya mengalami cedera ringan.
Justeru, Kasmini juga berharap pihak bank dapat memberikan kelonggaran bagi pengeluaran pencen suaminya sebagai pemandu dahulu yang kini berjumlah hampir RM4,000 sekiranya mengambil kira sehingga Ogos nanti.
“Setakat ini kos pembelian barangan keperluan suami masih mampu ditampung dengan menggunakan duit simpanan saya serta pemberian anak-anak, namun saya amat berharap pencen suami dapat dikeluarkan seperti biasa,” katanya.