KUALA LUMPUR: “Awak pernah curang saya tak pernah.”
Itu ayat ‘makan dalam’ penyampai radio dan pengacara terkenal, Issey Fazlisham terhadap bekas penyampai radio sensasi, Shuk Sahar dalam program I Can See Your Voice Malaysia yang disiarkan semalam.
Sebelum itu, Shuk memuji kesetiaan Issey terbabit dalam program ICSYVM dan telah menunjukkan satu perubahan ketara pada dirinya.
“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih sebab awak tunjuk setia dengan program ini dan buat dua perubahan sejak datang sini. Sebelum ini duda, sekarang suami orang,” puji Shuk santai.
Namun selepas itu suasana bertukar menjadi riuh-rendah dengan pujian’ tambahan oleh Issey secara seloroh.
Meninjau ruangan media sosial di TikTok, Twitter dan Instagram sejak video itu tular, rata-rata peminat dan penonton hiburan terhibur dengan ‘usikan’ Issey terhadap rakannya.
Begitu pun, ada juga netizen yang kurang senang dengan gurauan Issey.
“Sebaiknya jangan ungkapkan perkara itu di khalayak ramai. Dengan tak sedar kita sudah mengaibkan, walaupun itu hanya gurauan,” komen penonton di TikTok.